Saturday, November 29, 2014

Penghasilan Seni Logam Di Malaysia

Pengenalan

Di Malaysia, seni pertukangan logam sudah lama bertapak dan dipercayai bermula sejak zaman pra-sejarah.  Seni pertukangan logam ini berkembang sejajar dengan perkembangan industri yang lain, termasuk emas, tembaga dan besi.  Selain itu, barangan yang berasaskan logam bukan sahaja pada pertukangan logam tembaga malah dalam penghasilan perak dan pewter juga mendapat tempat di negara ini.

Menurut sejarah, penggunaan bahan-bahan logam seperti tembaga dalam proses pembuatan barangan seni telah dibawa oleh masyarakat Funan apabila berlaku kekacauan di negara tersebut.  Teknik pembuatan barangan tembaga secara tuangan juga berasal dari Funan pada zaman Dong-Son.  Apabila berlaku kekacauan di negara tersebut, satu penghijrahan telah berlaku.  Masyarakat Funan dipercayai berhijrah sehingga Tanah Melayu membawa kemahiran yang mereka ada.

Bagi logam emas pula dipercayai usaha melombongnya bermula sejak 2000 tahun yang lalu.  Emas telah digali di Pahang, Terengganu, Gunung Ledang di Johor, Johol dan Gemenceh di Negeri Sembilan.  Mengikut anggaran dan rekod yang bertulis pada tahun 1839.  Semenanjung Malaysia telah mengeluarkan kira-kira 1250 paun emas.  Emas telah diperolehi dengan berbagai-bagai cara dan dikumpulkan untuk dieksport untuk kegunaan dalam negeri.

Seni pertukangan logam ini terus melalui beberapa perubahan setelah masyarakat Melayu mengetahui nilai yang ada pada logam.  Jika dahulunya logam hanya sebagai matawang, namun peredaran masa telah menjadikan logam barang keperluan dapur dan senjata.  Pada masa itulah masyarakat Melayu telah pandai mencorakkan sesuatu barangan aksesori kaum wanita.  Logam juga dihasilkan untuk membentuk barangan yang berkaitan dengan adat istiadat masyarakat Melayu.

Kebanyakan barang perhiasan yang dimiliki oleh kerabat diraja Melayu pada hari ini dipercayai telah diukir pada abad ke-18 dan awal abad ke-19 kerana emas pada masa itu mudah didapati.  Ini telah membolehkan tukang-tukang emas menggunakan kemahiran mereka dengan sebaiknya.  Oleh demikian sehingga kini barangan yang dihasilkan masih mencerminkan keunggulan kesenian Melayu yang tidak dapat ditandingi.

Penduduk bagi negeri Kelantan dan Kedah juga telah menggunakan duit syiling emas untuk berjual beli.  Siri pertama dan paling penting dikenali ialah yang melambangkan seekor kijang.  Lambang kijang kekal hingga ke hari ini sebagai lambang negeri Kelantan dan sebagai logo Bank Negara Malaysia.  Kini Muzium Negara telah memberi keutamaan kepada usaha mengumpul barang-barang lama tempatan yang dibentuk daripada logam emas sebagai sebahagian daripada koleksi kebangsaan.  Daripada kajian yang dibuat terhadap contoh-contoh menunjukkan kualiti kemahiran kraftangan yang bermutu tinggi.



Jenis-jenis Logam

Logam merupakan bahan yang berasal daripada bijih yang dilombong dar dalam tanah.  Pelbagai jenis logam didapati di negara ini seperti bijih timah, bijih besi, bijih emas dan sebagainya.  Jika dahulu logam hanya sebagai matawang, namun peredaran masa telah menjadikan logam barang keperluan dapur, senjata dan barangan hiasan termasuklah cenderahati.  Pada masa yang sama masyarakat Melayu telah pandai mencorakkan sesuatu barangan sehingga barangan tersebut dianggap bermutu dan bernilai komersial.  Antara logam yang sering digunakan untuk menghasilkan barang-barang logam ialah:
1        Perak
2        Pewter
3        Tembaga
4        Emas


Perak

Seni pertukangan perak adalah kesan daripada pengaruh Hindu yang bergabung dengan kebudayaan Siam.  Kemudian kesenian ini secara perlahan-lahan dibawa masuk ke Tanah Melayu melalui perdagang-pedagang Siam terutama ke Kelantan.  Pada masa dahulu, daerah Pattani yang terletak di selatan negeri Thai terkenal sebagai pusat pembuatan barang-barang peraka yang utama.  Ekoran daripada itu, negeri Kelantan adalah negeri yang paling banyak menghasilkan barang-barang perak di negara ini.

Pertukangan perak mula berkembang dan menjadi industri terpenting.  Bagi setengah-setengah penduduk Kelantan, hasil perak dijadikan sebagai pendapatan utama mereka.  Mereka menghasilkan banyak barang daripada perak seperti teko, bekas air basuh tangan, bekas pen, cenderahati dan lain-lain lagi.

Selain itu, sistem beraja yang diamalkan di Malaysia juga telah menggalakkan pengeluaran barang-barang perak.  Alat-alat kebesaran raja-raja Melayu seperti keris, pedang, cokmar diperbuat daripada perak.

Cokmar dari logam Perak

Perkakas dari logam Perak


Pewter

Pewter merupakan campuran logam yang terdiri daripada bijih timah, gangsa dan atimoni.  Kandungan bijih timah adalah sebanyak 97 peratus, manakala tiga peratus lagi adalah campuran gangsa dan antimony.  Pewter digunakan sejak zaman dahulu lagi.  Pewter pernah dijumpai di kawasan petempatan manusia Zaman Batu dan Zaman Gangsa iaiti kira-kira 400 tahun dahulu.  Orang Mesir dan Rom merupakan masyarakat yang mula-mula sekali menggunakan pewter sebagai kegunaan mereka sehari-hari.
        
Di Malaysia, pewter mula diperkenalkan pada tahun 1885 apabila seorang pembuat pewter dari China telah memulakan perusahaan pewter.  Yong Khuan tertarik dengan penemuan bijih timah di Tanah Melayu dan  mula membuat barang-barang pewter seperti teko, bekas kemenyan dan lain-lain lagi.  Pada masa itu, barang-barang pewter dihasilkan hanyalah untuk kegunaan upacara keagamaan dan adat istiadat, tetapi pada tahun 1960-an kegunaan pewter terus meluas.  Pewter kini telah dibentuk menjadi beberapa barangan yang boleh digunakan dalam kehidupan seharian seperti barang-barang perhiasan dan barang-barang dapur.

       



Tembaga

Tembaga merupakan logam terawal digunakan oleh manusia.  Di Malaysia penggunaan tembaga dipercayai bermula sejak zaman pra sejarah.  Menurut sejarah, penggunaan tembaga dalam proses pembuatan barangan seni telah dibawa masuk oleh masyarakat Funan apabila berlaku kekacauan di negara tersebut.  Teknim pembuatan barangan tembaga secara tuangan berasal dari Funan pada zaman Dong-Son.  Mereka dipercayai berhijrah sehingga Tanah Melayu membawa bersama kemahiran yang ada.

Di Malaysia, industri melombong tembaga telah diusahakan sejak tahun 1970.  Sabah adalah pengeluar tembaga yang terbesar di Malaysia.  Tembaga terbahagi kepada dua iaitu tembaga merah dan tembaga kuning.  Seni kraftangan tembaga masih giat dijalankan terutama di Terengganu.  Teknik pembuatan masih dikekalkan walaupun penggunaan beberapa peralatan baru diperkenalkan.  Barangan yang dihasilkan melalui teknik tuangan ini seperti tepak sireh, kaki lilin, tempat bara, pahar dan sebagainya.


             


 


Emas

Dipercayai bahawa usaha melombong emas di Malaysia telah bermula sejak 2000 tahun yang lalu.  Emas telah digali di Pahang, Terengganu, Gunung Ledang di Johor, Johol dan Gemenceh di Negeri Sembilan.  Emas merupakan logan yang paling bernilai jika dibandingkan dengan logam-logam jenis lain.  Emas amat diminati oleh kaum wanita dan ia merupakan lambang kekayaan.  Pada suatu ketika dahulu, penduduk negeri Kelantan dan Kedah telah menggunakan duit syiling emas untuk berjula beli.

Di Malaysia tempat melombong emas  yang menjadi tumpuan adalah Mamut, Nagos dan Bukit Mantri (Sabah), Marang, Rusila dan Lubuk Mandi (Terengganu) dan beberapa kawasan lain yang terdapat di Semenanjung Malaysia.  Terdapat tiga jenis emas iaitu emas tulen, emas campuran dan emas saduran.  Emas tulen mempunyai harga yang tinggi dalam pasaran kerana ia tidak dicampur dengan bahan lain.  Manakala emas campuran pula telah dicampur dengan bahan campuran dengan tujuan untuk menguatkan barangan kemas ytang dibentuk.  Bagi emas saduran pula adalah bahan logam lain yang disadur dengan sedikit emas supaya menarik tetapi warnanya cepat pudar dan tidak kekal.


   


Syiling Emas
   


Barang Kemas Tradisional

Barang kemas atau perhiasan diri yang menjadi warisan masyarakat Malaysia terdiri daripada dua jenis bahan logam yang berharga dan bernilai tinggi iaitu perak dan emas.  Kedua-dua logam ini disifatkan sebagai sangat berharga dan digunakan juga oleh orang-orang berada sebagai cagaran hidup untuk menghimpun harta.  Sifat semulajadi logam ini membolehkan tukang-tukang emas dan perak membentuk barang-barang kemas dengan baik dan menarik.



[aksesori.jpg]




Barang-barang Kasar

Barang-barang kasar yang dihasilkan daripada perak adalah barang-barang yang lebih besar dan tidak memerlukan penelitian dalam pembuatan.  Pembuatan barangan jenis ini tidak begitu rumit kerana kebanyakan barang ini besar dan tidak mengandungi corak-corak pembentukan yang halus sehingga menyukarkan pengukir.  Antara barang-barang kasar yang boleh didapati adalah seperti dulang, bekas minuman, talam, bekas habuk rokok, sudu dan sebagainya.


Barang-barang Karut        

Barang-barang karut adalah barangan yang dihasilkan daripada perak dan lebih kecil saiznya jika dibandingkan barang-barang kasar.  Oleh kerana saiz yang lebih kecil, pengukir terpaksa berhati-hati dalam membuat barangan ini.

Corak dan bentuk barangan ini lebih rumit dan pengukir terpaksa mengambil masa yang lebih lama untuk menghasilkan sesuatu barangan.  Justeru itu kesabaran dan ketekunan amat diperlukan.  Antara jenis barangan tersebut ialah kerongsang, penyucuk sanggul, pin baju, penyepit tali leher dan sebagainya.









Barang-barang Ikatan Permata

Barang-barang ikatan permata adalah penghasilan daripada gabungan perak dengan batu-batu permata lain.  Perak dibentuk sehingga menjadi sesuatu barangan yang boleh mengikat batu-batu permata supaya menghasilkan sesuatu barangan yang lebih menarik.  Pembuatan barang-barang ikatan permata ini lebih sukar dan coraknya lebih halus dan ini memerlukan ketelitian.  Antara contoh barang-barang perak jenis ini ialah loket, subang, rantai atau gelang.



Logam Ikatan Permata


No comments:

Post a Comment