Sunday, December 14, 2014

Tumbuhan ini mampu membersih udara dalam rumah!


PENGENALAN
Meskipun kita membersihkan rumah setiap hari atau hujung minggu, itu tidak memberi jaminan bahawa kediaman kita bebas daripada partikel racun seperti gas toluena, xilena, etil asetat, aseton, kloroform, benzena, trichloroethylene dan formaldehid.
Kesemua unsur ini boleh didapati daripada penggunaan kimia di dalam cat, penyembur minyak wangi, sabun pencuci dan banyak lagi yang tidak kita sedari. Penyebaran gas itu boleh menimbulkan masalah kesihatan seperti sakit kepala, gatal kulit dan paling serius, kanser!
Kumpulan penyelidik dari NASA dan Associate Landscape Contractors of America (Alca) menjalankan penyelidikan mengenai unsur racun dalam bahan penjagaan rumah.
Mereka menemui 10 jenis pokok yang boleh mengurang dan menghilangkan partikel racun berbahaya dalam udara di rumah sekali gus mengembalikan kesegaran.

1. CHLOROPHYTUM COMOSUM
Juga dipanggil spider plant dan airplane plant, berasal dari Afrika dan digolongkan dalam keluarga Asparagaceae.
Awal penemuannya pada 1794, ia dikenali sebagai Anthericum comosum oleh pakar naturalis berbangsa Sweden, Carl Peter Thun Berg. Pada 1862, ia diberi nama baru yang kekal sehingga sekarang.
Terbahagi kepada dua spesies iaitu Vittatum dan Variegatum. Kedua-duanya popular sebagai pokok hiasan di rumah dan diiktiraf oleh Royal Horticultural Society, London.
Mudah ditanam dalam apa jua persekitaran dan mudah dijaga. Dalam tempoh setahun, ia menghasilkan bunga berkelopak putih dipanggil runners.
Bagi memastikan daunnya cantik dan segar, tanam pokok ini di kawasan yang menerima banyak cahaya matahari.

CHLOROPHYTUM COMOSUM


2. SCINDAPSUS
Daripada keluarga Araceae, pokok menjalar ini banyak dijumpai di Asia. Ia juga dipanggil Devil’s ivy kerana kemampuannya membesar dengan mudah meskipun di tempat redup.
Terdiri daripada 40 spesies, ia sering disalah anggap sebagai pokok Epipremnum kerana mempunyai rupa bentuk daun yang sama. Perbezaan mereka hanyalah pada jumlah dan bentuk benih yang dihasilkan.
Memerlukan penjagaan minimum. Sekiranya permukaan daun berdebu, memadai hanya sembur sedikit air untuk membersihkannya.
SCINDAPSUS



3. NEPHROLEPIS EXALTATA
Biasa dijumpai di dalam hutan di kawasan berpaya sekitar Amerika Selatan, Mexico dan Afrika. Spesies paku pakis daripada keluarga Lomariopsidaceae lebih dikenali dengan nama Sword fern.
Sangat toleransi dengan musim kering sehingga kemarau, pokok ini sesuai dijadikan tanaman hiasan bergantung kerana daunnya tumbuh berjuntaian antara 50 hingga 250 sentimeter.
Pokok tidak mengandungi toksin selamat dimakan oleh haiwan seperti kucing. Ia tidak perlu disiram selalu dan mudah dijaga.
NEPHROLEPIS EXALTATA



4. SYNGONIUM PODOPHYLLUM
Dikategorikan sebagai pokok berbunga daripada keluarga Araceae, ia mempunyai kira-kira 36 spesies. Daunnya berubah bentuk mengikut tempoh pembesaran.
Daya penarik itu menyumbang kepada popularitinya sebagai pokok hiasan yang diminati sejak kurun ke-19 lagi.
Pokok ini juga dipanggil Arrowhead plant, sangat menyukai kelembapan dan suasana redup. Pastikan daunnya disemburkan air dengan kerap.
SYNGONIUM PODOPHYLLUM


5. CHAMAEDOREA ELEGANS
Daripada jenis pokok palma kecil, ia juga dipanggil Parlour palm dan banyak dijumpai di selatan Mexico dan Guatemala.
Di negara beriklim tropika misalnya di Tenggara Amerika Syarikat, ia dijadikan penghias taman riadah manakala kawasan beriklim khatulistiwa, ia dijadikan pokok hiasan di rumah.
Tumbuh sehingga dua meter tinggi, pokok ini pernah menerima anugerah daripada Royal Horticultural Society, London, mengambil masa lama untuk membesar sepenuhnya.
CHAMAEDOREA ELEGANS



6. SPATHIPHYLLUM CUPIDO
Berasal dari Columbia, tumbuhan berbunga putih daripada keluarga Araceae mula diperkenalkan di Eropah pada 1870.
Juga dipanggil bunga lili atau the Peace Lily berikutan bentuk bunga seakan-akan bunga itu. Ia memerlukan air yang banyak dan sangat suka suasana redup.
Bagaimanapun, pokok ini boleh memudaratkan sesiapa sahaja memakannya kerana mengandungi calcium oxalate crystals yang boleh menyebabkan radang dan muntah.
SPATHIPHYLLUM CUPIDO



7. PHILODENDRON IMPERIAL RED
Hibrid dari China ini pada awal tumbesarannya, berdaun merah batu bata namun semakin membesar, daun bertukar menjadi hijau.
Ia mampu hidup dalam apa jua persekitaran lebih-lebih lagi sederhana panas dan dipanggil Pholodendron rouge.
PHILODENDRON IMPERIAL RED


8. ASPARAGUS SETACEUS
Dikenali dengan nama Ferny Asparagus kerana daun seperti paku-pakis. Pokok ini menghasilkan buah kecil berwarna hijau yang bertukar hitam apabila masak.
Berasal dari Selatan Afrika, tergolong dalam keluarga Asparagales dan diperkenalkan oleh botani Jerman bernama Carl Sigismund Kunth.
Nama setaceus berasal dari perkataan Latin bermaksud rambut.
ASPARAGUS SETACEUS



9. DRACAENA FRAGRANS
Juga dipanggil cornstalk dan Chinese money tree, popular dari negara Sudan, Mozambique sehinggalah ke Angola di Afrika. Malah dijadikan pokok suci oleh kaum Chagga di Tanzania.
Penyelidikan oleh NASA Clean Air Study membuktikan pokok ini mampu membersihkan udara yang dicemari formaldehyde, xylene dan toluene.
DRACAENA FRAGRANS


10. GINSENG FICUS
Menjadi pilihan utama mereka yang menggemari seni bonsai sekitar Asia Tenggara terutamanya Malaysia dan Taiwan. Tidak hairanlah ia juga dipanggil Taiwan Ficus.
Spesies bonsai mudah ditanam dan dijaga. Namun kelembapan tanahnya perlu diperiksa selalu agar tidak terlalu kering kerana ia memerlukan air mencukupi untuk kekal segar.

GINSENG FICUS





Wednesday, December 10, 2014

Senjata Tradisional Melayu

Pengenalan

Orang-orang Melayu telah membuat dan menggunakan senjata semenjak sekurang-kurangnya lima ratus tahun dahulu dan mereka juga telah menempah beberapa jenis alat-alat senjata lain seperti parang, pisau, badik, karambit, lembing dan sebagainya. Sehingga awal abad kedua puluh, kebanyakkan senjata Melayu telah ditempah untuk kegunaan pertarungan ataupun untuk pertahanan diri mahupun serangan.

Menurut penelitian para ahli penyelidik yang bijaksana senjata seperti ini hanyalah terdapat di Asia Tenggara, khususnya di Kepulauan Nusantara. Walau bagaimanapun, keadaan Kepulauan Nusantara yang terpisah di antara satu sama lain menyebabkan senjata-senjata tadi telah mengalami perkembangan yang berbeza-beza.

Selaras dengan perkembangan kebudayaan dan sistem sosial, fungsi senjata telah mengalami perkembangan dan perubahan. Walaupun begitu senjata-senjata ini tetap menyerupai senjata-senjata pertarungan dengan segala keasliannya dan tetap halus buatannya. Tetapi kini fungsinya telah bertukar menjadi barang keramat yang mempunyai kuasa yang harus dihormati, barang yang dipuja, lambang ikatan keluarga, tanda jasa, tanda pangkat dan kuasa, barang mewah dan akhirnya dianggap sebagai karya seni.

Senjata-senjata ini telah melalui masa perkembangan yang cukup lama sebelum mempunyai bentuk dan fungsi seperti sekarang. Oleh itu, terdapat pelbagai jenis senjata sesuai dengan seni serantau.


Kerambit

Kerambit ialah salah satu senjata tempur jarak rapat yang kini menjadi senjata seni beladiri yang paling popular di dunia. Senjata ini dipilih oleh pelbagai ejensi ‘sekuriti, pengawal peribadi dan kumpulan gerak khas ketenteraan’ di barat sebagai salah satu senjata tempur jarak rapat yang eksklusif.  Kini senjata sulit Srikandi Melayu sudah keperingkat antarabangsa dan dinobatkan sebagai senjata seni beladiri yang tersohor alaf ini.

Kerambit

Badik

Badik merupakan senjata Melayu yang bermula dari Sulawesi yang terdapat dalam dua jenis iaitu mempunyai mata yang lurus dan yang berkeluk seperti keris. Bentuknya menyerupai  Tumbuk Lada tetapi panjang matanya di antara 18 - 20sm. dan lebar 2sm.

Badik

Badik mempunyai mata yang tebal di bahagian belakangnya dan meruncing dihujungnya. Hulu dan sarungnya diperbuat daripada kayu, tanduk dan gading serta dihias dengan motif awan larat. 
Bentuk badik, hampir sama dengan bentuk tumbuk lada tetapi lebih besar dan kurang pula daripada segi ukiran. Matanya lebih tegak, hulunya membongkok ke bawah.

Badik misalnya, cukup popular selepas Kerajaan Inggeris/Belanda mengharamkan penggunaan keris. Matanya ditempa daripada besi terpilih manakala ulunya diperbuat daripada kayu, gading, tanduk serta dihiasi dengan logam emas dan perak. Selain digunakan untuk mempertahankan diri, badik juga menjadi pisau memotong daging, bawang dan menyembelih haiwan.



Lembing

Lembing ialah sejenis senjata, yang digunakan untuk memburu dan berperang semenjak zaman kuno lagi. Ia terdiri daripada hulu atau pemegang, biasanya diperbuat daripada kayu dan mempunyai hujung yang tajam dipanggil kepala. Hujung yang tajam itu mungkin juga adalah dari hujung kayu itu sendiri (contohnya lembing buluh) atau diikatkan bersama bahan yang lain kepada hulu tersebut. Lembing yang paling biasa dibuat ialah lembing yang mempunyai kepala yang diperbuat daripada besi, berbentuk seperti pisau pendek dan digunakan untuk tikaman.

Lembing
        
Lembing merupakan senjata yang banyak kegunaannya, yang boleh digunakan dalam pertempuran dan memburu, dan dalam pergelutan dan sebagai senjata dibaling. Di kawasan yang mempunyai sumber terhad, ini merupakan punca kenapa lembing cenderung digunakan: alat yang boleh digunakan bagi memburu, juga untuk membunuh haiwan yang mengancam ternakan dan tanaman, dan turut juga merupakan senjata yang berkesan dalam perperangan. Ia mempunyai jarak berkesan melebihi senjata tangan yang dipegang lain seperti keris, pedang, dsb. dan juga boleh dilontar bagi meningkatkan jarak keberkesanannya lagi.



Tumbuk Lada

Tumbuk Lada ialah sejenis senjata Melayu tradisional dari daerah Sumatera, Kepulauan Riau dan Semenanjung Tanah Melayu. Bentuk bilah senjata ini seakan badik dari Sulawesi tetapi bentuk sarungnya berbeza. Pada pangkal sarung Tumbuk Lada terdapat bonjolan bundar yang selalunya dihias dengan ukiran yang dipahat. Sarung senjata ini selalunya dilapis dengan kepingan perak yang diukir dengan pola-pola rumit.

Tumbuk Lada
Senjata ini tergolong dalam jenis senjata pendek dengan mata pada sebelah bilah sahaja dan boleh diguna secara tunggal ataupun berpasangan.

Panjang bilah tumbuk lada sekitar 27cm hingga 29cm. Lebar bilahnya sekitar 3.5cm hingga 4cm. Dari tengah bilah sampai ke pangkalnya terdapat alur yang dalam yang kadang-kala disapu racun berbisa.

Tumbuk Lada digunakan secara menikam, menghiris dan menjajah dalam pertempuran jarak dekat. Ia boleh dipegang dengan dua jenis genggaman iaitu dengan mata keatas ataupun mata ke bawah. Seorang yang ahli dalam permainan tumbuk lada mampu menukar genggaman senjata ini ketika bertemput bagi mengelirukan musuh.



Keris Sundang

Keris sundang  dianggap sebagai Raja bagi segala senjata Melayu. Di percayai berasal dari pulau Sulawesi , digunakan olih pahlawan Bugis  dan masyarakat Moro Filipinah . Mula diperkenalkan di Tanah Melayu pada abad ke 17 . Ia digunakan sebagai senjata untuk menetak, memancung , dan melibas , jarang sekali digunakan untuk menikam. 

Keris Sundang
Mata sundang terbahagi  kepada dua, ia itu berbentuk lurus dan berlok . Sundang amat sesuai digunakan didalam pertarungan cara berapat rapat. Mata sundang diberbuat dari besi waja, agar ia tahan lama dan sentiasa tajam  tak perlu diasah dan bolih memotong paku.



Parang

Parang didefinasikan sebagai Pisau Melayu yang besar.  Parang merupakan sejenis alat seakan pisau yang berasal dari Asia Tenggara, khususnya Nusantara. Ia digunakan untuk memotong kayu yang lebih keras, dengan  mata yang lebih keras dan pusat pukulan  yang jauh ke hadapan tangkai. Matanya juga lebih cekah serong supaya tidak tersekat dalam potongan. 

Parang
Mata parang biasanya 30 sentimeters (12 in) panjang dan jisimnya tidak lebih 0.75 kilograms (1.7 lb). Mata yang lengkung membolehkan penggunaan daya maksimum ketika memotong kayu balak, maka mata sampai sebelum buku jari demi perlindungan pada buku jari. Parang mempunyai tiga mata, iaitu mata depan amat tajam dan digunakan untuk mengupas, mata tengah yang lebih lebar dan digunakan untuk mencantas, dan mata belakang (dekat tangkai) yang amat halus dan digunakan untuk mengukir.





Saturday, November 29, 2014

Penghasilan Seni Logam Di Malaysia

Pengenalan

Di Malaysia, seni pertukangan logam sudah lama bertapak dan dipercayai bermula sejak zaman pra-sejarah.  Seni pertukangan logam ini berkembang sejajar dengan perkembangan industri yang lain, termasuk emas, tembaga dan besi.  Selain itu, barangan yang berasaskan logam bukan sahaja pada pertukangan logam tembaga malah dalam penghasilan perak dan pewter juga mendapat tempat di negara ini.

Menurut sejarah, penggunaan bahan-bahan logam seperti tembaga dalam proses pembuatan barangan seni telah dibawa oleh masyarakat Funan apabila berlaku kekacauan di negara tersebut.  Teknik pembuatan barangan tembaga secara tuangan juga berasal dari Funan pada zaman Dong-Son.  Apabila berlaku kekacauan di negara tersebut, satu penghijrahan telah berlaku.  Masyarakat Funan dipercayai berhijrah sehingga Tanah Melayu membawa kemahiran yang mereka ada.

Bagi logam emas pula dipercayai usaha melombongnya bermula sejak 2000 tahun yang lalu.  Emas telah digali di Pahang, Terengganu, Gunung Ledang di Johor, Johol dan Gemenceh di Negeri Sembilan.  Mengikut anggaran dan rekod yang bertulis pada tahun 1839.  Semenanjung Malaysia telah mengeluarkan kira-kira 1250 paun emas.  Emas telah diperolehi dengan berbagai-bagai cara dan dikumpulkan untuk dieksport untuk kegunaan dalam negeri.

Seni pertukangan logam ini terus melalui beberapa perubahan setelah masyarakat Melayu mengetahui nilai yang ada pada logam.  Jika dahulunya logam hanya sebagai matawang, namun peredaran masa telah menjadikan logam barang keperluan dapur dan senjata.  Pada masa itulah masyarakat Melayu telah pandai mencorakkan sesuatu barangan aksesori kaum wanita.  Logam juga dihasilkan untuk membentuk barangan yang berkaitan dengan adat istiadat masyarakat Melayu.

Kebanyakan barang perhiasan yang dimiliki oleh kerabat diraja Melayu pada hari ini dipercayai telah diukir pada abad ke-18 dan awal abad ke-19 kerana emas pada masa itu mudah didapati.  Ini telah membolehkan tukang-tukang emas menggunakan kemahiran mereka dengan sebaiknya.  Oleh demikian sehingga kini barangan yang dihasilkan masih mencerminkan keunggulan kesenian Melayu yang tidak dapat ditandingi.

Penduduk bagi negeri Kelantan dan Kedah juga telah menggunakan duit syiling emas untuk berjual beli.  Siri pertama dan paling penting dikenali ialah yang melambangkan seekor kijang.  Lambang kijang kekal hingga ke hari ini sebagai lambang negeri Kelantan dan sebagai logo Bank Negara Malaysia.  Kini Muzium Negara telah memberi keutamaan kepada usaha mengumpul barang-barang lama tempatan yang dibentuk daripada logam emas sebagai sebahagian daripada koleksi kebangsaan.  Daripada kajian yang dibuat terhadap contoh-contoh menunjukkan kualiti kemahiran kraftangan yang bermutu tinggi.



Jenis-jenis Logam

Logam merupakan bahan yang berasal daripada bijih yang dilombong dar dalam tanah.  Pelbagai jenis logam didapati di negara ini seperti bijih timah, bijih besi, bijih emas dan sebagainya.  Jika dahulu logam hanya sebagai matawang, namun peredaran masa telah menjadikan logam barang keperluan dapur, senjata dan barangan hiasan termasuklah cenderahati.  Pada masa yang sama masyarakat Melayu telah pandai mencorakkan sesuatu barangan sehingga barangan tersebut dianggap bermutu dan bernilai komersial.  Antara logam yang sering digunakan untuk menghasilkan barang-barang logam ialah:
1        Perak
2        Pewter
3        Tembaga
4        Emas


Perak

Seni pertukangan perak adalah kesan daripada pengaruh Hindu yang bergabung dengan kebudayaan Siam.  Kemudian kesenian ini secara perlahan-lahan dibawa masuk ke Tanah Melayu melalui perdagang-pedagang Siam terutama ke Kelantan.  Pada masa dahulu, daerah Pattani yang terletak di selatan negeri Thai terkenal sebagai pusat pembuatan barang-barang peraka yang utama.  Ekoran daripada itu, negeri Kelantan adalah negeri yang paling banyak menghasilkan barang-barang perak di negara ini.

Pertukangan perak mula berkembang dan menjadi industri terpenting.  Bagi setengah-setengah penduduk Kelantan, hasil perak dijadikan sebagai pendapatan utama mereka.  Mereka menghasilkan banyak barang daripada perak seperti teko, bekas air basuh tangan, bekas pen, cenderahati dan lain-lain lagi.

Selain itu, sistem beraja yang diamalkan di Malaysia juga telah menggalakkan pengeluaran barang-barang perak.  Alat-alat kebesaran raja-raja Melayu seperti keris, pedang, cokmar diperbuat daripada perak.

Cokmar dari logam Perak

Perkakas dari logam Perak


Pewter

Pewter merupakan campuran logam yang terdiri daripada bijih timah, gangsa dan atimoni.  Kandungan bijih timah adalah sebanyak 97 peratus, manakala tiga peratus lagi adalah campuran gangsa dan antimony.  Pewter digunakan sejak zaman dahulu lagi.  Pewter pernah dijumpai di kawasan petempatan manusia Zaman Batu dan Zaman Gangsa iaiti kira-kira 400 tahun dahulu.  Orang Mesir dan Rom merupakan masyarakat yang mula-mula sekali menggunakan pewter sebagai kegunaan mereka sehari-hari.
        
Di Malaysia, pewter mula diperkenalkan pada tahun 1885 apabila seorang pembuat pewter dari China telah memulakan perusahaan pewter.  Yong Khuan tertarik dengan penemuan bijih timah di Tanah Melayu dan  mula membuat barang-barang pewter seperti teko, bekas kemenyan dan lain-lain lagi.  Pada masa itu, barang-barang pewter dihasilkan hanyalah untuk kegunaan upacara keagamaan dan adat istiadat, tetapi pada tahun 1960-an kegunaan pewter terus meluas.  Pewter kini telah dibentuk menjadi beberapa barangan yang boleh digunakan dalam kehidupan seharian seperti barang-barang perhiasan dan barang-barang dapur.

       



Tembaga

Tembaga merupakan logam terawal digunakan oleh manusia.  Di Malaysia penggunaan tembaga dipercayai bermula sejak zaman pra sejarah.  Menurut sejarah, penggunaan tembaga dalam proses pembuatan barangan seni telah dibawa masuk oleh masyarakat Funan apabila berlaku kekacauan di negara tersebut.  Teknim pembuatan barangan tembaga secara tuangan berasal dari Funan pada zaman Dong-Son.  Mereka dipercayai berhijrah sehingga Tanah Melayu membawa bersama kemahiran yang ada.

Di Malaysia, industri melombong tembaga telah diusahakan sejak tahun 1970.  Sabah adalah pengeluar tembaga yang terbesar di Malaysia.  Tembaga terbahagi kepada dua iaitu tembaga merah dan tembaga kuning.  Seni kraftangan tembaga masih giat dijalankan terutama di Terengganu.  Teknik pembuatan masih dikekalkan walaupun penggunaan beberapa peralatan baru diperkenalkan.  Barangan yang dihasilkan melalui teknik tuangan ini seperti tepak sireh, kaki lilin, tempat bara, pahar dan sebagainya.


             


 


Emas

Dipercayai bahawa usaha melombong emas di Malaysia telah bermula sejak 2000 tahun yang lalu.  Emas telah digali di Pahang, Terengganu, Gunung Ledang di Johor, Johol dan Gemenceh di Negeri Sembilan.  Emas merupakan logan yang paling bernilai jika dibandingkan dengan logam-logam jenis lain.  Emas amat diminati oleh kaum wanita dan ia merupakan lambang kekayaan.  Pada suatu ketika dahulu, penduduk negeri Kelantan dan Kedah telah menggunakan duit syiling emas untuk berjula beli.

Di Malaysia tempat melombong emas  yang menjadi tumpuan adalah Mamut, Nagos dan Bukit Mantri (Sabah), Marang, Rusila dan Lubuk Mandi (Terengganu) dan beberapa kawasan lain yang terdapat di Semenanjung Malaysia.  Terdapat tiga jenis emas iaitu emas tulen, emas campuran dan emas saduran.  Emas tulen mempunyai harga yang tinggi dalam pasaran kerana ia tidak dicampur dengan bahan lain.  Manakala emas campuran pula telah dicampur dengan bahan campuran dengan tujuan untuk menguatkan barangan kemas ytang dibentuk.  Bagi emas saduran pula adalah bahan logam lain yang disadur dengan sedikit emas supaya menarik tetapi warnanya cepat pudar dan tidak kekal.


   


Syiling Emas
   


Barang Kemas Tradisional

Barang kemas atau perhiasan diri yang menjadi warisan masyarakat Malaysia terdiri daripada dua jenis bahan logam yang berharga dan bernilai tinggi iaitu perak dan emas.  Kedua-dua logam ini disifatkan sebagai sangat berharga dan digunakan juga oleh orang-orang berada sebagai cagaran hidup untuk menghimpun harta.  Sifat semulajadi logam ini membolehkan tukang-tukang emas dan perak membentuk barang-barang kemas dengan baik dan menarik.



[aksesori.jpg]




Barang-barang Kasar

Barang-barang kasar yang dihasilkan daripada perak adalah barang-barang yang lebih besar dan tidak memerlukan penelitian dalam pembuatan.  Pembuatan barangan jenis ini tidak begitu rumit kerana kebanyakan barang ini besar dan tidak mengandungi corak-corak pembentukan yang halus sehingga menyukarkan pengukir.  Antara barang-barang kasar yang boleh didapati adalah seperti dulang, bekas minuman, talam, bekas habuk rokok, sudu dan sebagainya.


Barang-barang Karut        

Barang-barang karut adalah barangan yang dihasilkan daripada perak dan lebih kecil saiznya jika dibandingkan barang-barang kasar.  Oleh kerana saiz yang lebih kecil, pengukir terpaksa berhati-hati dalam membuat barangan ini.

Corak dan bentuk barangan ini lebih rumit dan pengukir terpaksa mengambil masa yang lebih lama untuk menghasilkan sesuatu barangan.  Justeru itu kesabaran dan ketekunan amat diperlukan.  Antara jenis barangan tersebut ialah kerongsang, penyucuk sanggul, pin baju, penyepit tali leher dan sebagainya.









Barang-barang Ikatan Permata

Barang-barang ikatan permata adalah penghasilan daripada gabungan perak dengan batu-batu permata lain.  Perak dibentuk sehingga menjadi sesuatu barangan yang boleh mengikat batu-batu permata supaya menghasilkan sesuatu barangan yang lebih menarik.  Pembuatan barang-barang ikatan permata ini lebih sukar dan coraknya lebih halus dan ini memerlukan ketelitian.  Antara contoh barang-barang perak jenis ini ialah loket, subang, rantai atau gelang.



Logam Ikatan Permata